Monday, April 27, 2009

sebuah nukilan...


ALANGKAH sukarnya buat seseorang mencari rezeki terus daripada sumber alam. Para nelayan, petani, pesawah, pemburu adalah golongan yang tidak boleh panjang angan-angan mereka. Di setiap hari, air, api, angin dan tanah menentukan pasang surut pendapatannya. Nasibnya setiap hari ditentukan oleh empat unsur itu secara langsung.
SEORANG nelayan yang bangun tidur di waktu subuh untuk turun ke laut tidak tahu sama ada dia akan memperoleh rezeki pada pagi itu. Diselubungi kedinginan malam dan kegelapan di tengah laut, dia tahu, kalau ada rezeki, adalah ikan yang tersangkut di jalanya. Andai sebaliknya, dia tahu nasibnya tidak menyebelahinya pada hari itu.Dalam pada itu, dia sedar, pada bila-bila sahaja ribut akan datang. Gelombang laut akan menolak perahunya setinggi gunung dan menghempasnya pula ke dada laut persis sabut kelapa. Entah perahunya karam dan dirinya sama-sama tenggelam ke dasar laut… di setiap saat, si nelayan sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.
SEORANG pesawah yang menanam padi pula tahu, hasilnya pada tahun lalu bukannya pengukur perolehannya pada tahun ini. Mungkin cuaca pada tahun ini tidak akan menyebelahinya. Jika cuaca tidak memihak kepadanya, padinya akan mati di panah mentari kemarau. Mungkin juga pohon-pohon padinya akan rebah diserbu arus banjir.Jika cuaca elok, dan padinya menguning, belum tentu lagi dia dapat menuai hasilnya tak lama lagi. Burung, siput, serangga malah penyakit tanaman boleh menyerang pada bila-bila masa melenyapkan angan-angannya untuk memamah nasi yang segar dan harum pada tahun itu.NAMUN, di sebalik segala ketidaktentuan, golongan ini amat beruntung. Ketidakpastian itu sebenarnya membuatkan mereka mulai sedar yang mereka tiada kuasa untuk menghadapi kekuatan keempat-empat unsur alam iaitu air, api, angin dan tanah itu.
Justeru, kepada siapakah mereka mengharap, kepada siapakah mereka memohon dan kepada siapakah mereka pasrah?Sudah tentulah kepada ALLAH s.w.t Tuanpunya air, api, angin dan tanah itu. Tatkala melangkah ke dalam selut sawah atau mengharung laut, kepada Ar-Razzaq atau Yang Maha Menganugerah Rezekilah mereka bermohon. Tatkala sampan dilambung ombak atau ketika banjir melanda sawah, kepada Al-Qahar atau Yang Maha Keras itulah yang dipohon agar cuaca kembali pulih. Dan kepada Al-Basit atau Yang Melapangkan itulah yang dipohon agar rezeki dapat diperoleh kembali.Beruntungnya golongan ini kerana saban hari dapat memohon dan merintih mengadu nasib demi sesuap nasi. Cara mereka mencari rezeki yang bersumberkan terus daripada alam itulah yang memungkin mereka sentiasa dapat bertaqqarub kepada ALLAH s.w.t.


No comments:

Post a Comment